Wednesday, January 24, 2018

Thursday, October 13, 2016

Terima Kasih Untuk Semua

Assalamualaikum dan Salam Bahagia buat seluruh warga kerabat Bani Haji Daud (BHD), walau di manapun berada.  Saya percaya sebahagian besar dari kita masih tidak dapat melupakan keseronokan saat kita berkumpul buat julung kalinya di Teratak Malaya, Janda Baik baru-baru ini.  Silaturahim antara kita telah mula bertaut. Semoga perhimpunan ulung tersebut tidak menjadi yang terakhir hingga menyebabkan tali silaturahim mereput dan terputus dimamah waktu. Kepada sebahagian kerabat yang tidak berkesempatan menyertai perhimpunan baru-baru ini, diharapkan berpeluang untuk turut serta dalam acara akan datang. Insyaa Allah.
Sudah semestinya, sebagai perhimpunan pertama, tidak lekang daripada terlepas pandang dan juga kecacatan. Pun begitu, tidak seharusnya segala kekurangan dan kelemahan tersebut dijadikan alasan untuk kita saling mempersalah atau memperlekehkan antara satu sama lain. Apa lagi jika segalanya hendak ditudingkan kepada barisan Pengerusi serta AJK Penganjur. Kelemahan dan kekurangan kita ambil sebagai iktibar dan panduan untuk kelancaran dan kejayaan pada program akan datang. Saya penuh yakin dan percaya bahawa tiada seorangpun di kalangan kerabat BHD yang tergamak berpandangan buruk sedemikian, malah setelah kita saling mengenali menjadikan kita bertambah mesra dan tertanam perasaan kekitaan dalam sanubari masing-masing.
Pada kesempatan ini, saya tidak berhasrat untuk mengulang apa yang telah dicatatkan oleh kerabat kita di ruangan yang diwujudkan khas untuk kita memberikan pandangan, lontaran idea dan sebagainya demi kesatuan kerabat BHD.  Dengan setulus hati saya ingin melakar dan merakamkan rasa penuh bangga dan penghargaan setinggi-tingginya kepada beberapa insan yang memainkan peranan penting dan penuh tanggungjawab dalam mencambahkan idea serta memerah keringat dan tenaga demi merealisasikan hasrat murni untuk mengumpul seberapa ramai warga kerabat BHD yang bertebaran di seluruh negara.
Tanpa cetusan idea daripada Tuan Haji Besar Sa’aid atau Pok De yang mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari wanita kesayangannya, Cik De, sudah tentulah kita tidak berpeluang mengenali antara satu sama lain. Tiada ungkapan dan hadiah yang senilai untuk dianugerahkan kepada pasangan suami isteri ini atas segala jasa bakti mereka terhadap BHD ini.  Hanya Allah Subhanahu Wataala jua yang mampu memberi balasan yang sebaiknya. Marilah kita semua sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Robbul Jalil agar pasangan ini diberi kesihatan dan kerahmatan yang berterusan. Amin.
Tuan Haji Ir Mohamad Hanafiah, saya tabik saudara kerana telah membuktikan kemampuan memikul tanggungjawab yang amat berat untuk menjayakan program ulung ini. Pelbagai cabaran dan karenah terpaksa dihadapi, menambahkan beban tugas hakiki yang sepatutnya perlu didahului.  Namun, berkat kerajinan dan ketabahan serta tentunya dengan izin-Nya jua, maka Saudara telah mencipta sejarah tersendiri sebagai Pengerusi Ulung HKBHD. Ilmu dan pengalaman yang diraih diharapkan dapat dijadikan teladan dan panduan kepada peneraju acara sebegini pada kesempatan mendatang.
Buat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Toh Puan, tokoh kebanggaan dan sebagai ikon keluarga besar BHD, saya dan tentunya seluruh kerabat BHD ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas sumbangan idea dan material dari awal hingga akhir dalam pelaksanaan acara yang gemilang ini. Semoga Dato’ Sri dan Toh Puan serta seisi keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah Taala dengan keberkatan rahmah-Nya.

Terakhir, tetapi tidak bermakna ianya kurang penting, ucapan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada semua AJK dan barisan penaja, terutamanya Rayhar Travels yang telah bertungkus lumus tanpa menghiraukan penat lelah dan mengenal erti putus asa, berusaha dengan sedaya upaya untuk menjayakan misi dan visi menyatukan kerabat BHD buat julung kalinya di Teratak Malaya.  Budi dan jasa Saudara dan Saudari sekalian mudahan tercatat sebagai amalan mulia di sisi Tuhan. Semoga persaudaraan dan kesepakatan di kalangan kerabat BHD akan berterusan hingga ke akhir hayat. Kita ambil dan hayati kata-kata nenek moyang kita terdahulu, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Tuesday, October 11, 2016

Tercipta Sejarah

Assalamualaikum..Alhamdulillah, syukur pd Allah Yang Esa kerana impian untuk menyatukan generasi warisan Bani Haji Daud telah terlaksana dengan jayanya. Walaupun tidak semua yang dapat hadir kerana pelbagai komitmen dan masalah masing2 namun bilangan yang hadir sangat membanggakan bagi perhimpunan kali pertama ni.
Pada peringkat awal perlantikan jawatankuasa, tak ramai yang menawarkan diri kerana mungkin juga tiada keyakinan bahawa himpunan ini akan berjaya. Namun, atas usaha dan kesungguhan Haji Besar Sa'aid (Pok De), maka tertubuhlah jua jawatankuasa pelaksana untuk majlis himpunan ni.
Poll survey juga telah dilancarkan bagi melihat sambutan dari ahli2 KBHD.  Satu grup "Whatsapp" juga telah dibuka khas untuk ahli2 yang bersetuju untuk sertai himpunan yang julung2 kali diadakan tu.
Segala maklumat perancangan telah diwar2 kan di grup tersebut. Pelbagai kerenah ahli tiap kali mendapat maklumat baru. Ada yang membangkang, ada yang menyokong, ada yang memberi idea baru, ada yang sekadar mencetuskan huru-hara (saja nak memeriahkan, bukan serius pun).
Ada juga yang merajuk sehingga "left group". Ada juga yang dimasukkan semula beberapa kali. Ada yang menguji kesabaran & ada juga yang lucu.
Ada kalanya ketika tercetus "pergaduhan manja" ketika memberikan pendapat, hati ada juga berdetik, "bole ke nk berhimpun kalo baru mcm ni..dah macam nak gaduh". Tapi...konflik tu tak lama. Kadang2 sependapat, kadang2 orang ni nak macam ni, orang tu nak mcam tu..sehinggakan pihak jawatankuasa pun hampir merajuk..hehehehe.
Bila tiba masanya hari yang dinanti, hati berdebar-debar juga. Maklumlah..berapa kerat saja yang kenal. Segan pun ada. Tapi..nekad juga hadirkan diri ke Teratak Malaya, Janda Baik. Sebaik sampai, nampak ada beberapa buah kereta dah sedia terpakir. Sampai di 'reception'..ada senyuman yang menyambut. Alhamdulillah, peramah dan baik2 rupanya cucu cicit Haji Daud ni.
Masa makan malam yang pertama tu, rasa segan tu masih menebal. Cuma bertegur sapa dengan yang betul2 dah kenal je. Dengan yang belum kenal tu sekadar senyum dan anggukkan kepala.
Part yang seronok bermula apabila sukaneka. Kumpulan telah ditetapkan. Tak semua ahli kumpulan tu saling kenal. Ada yang baru pertama kali jumpa tapi ketika dalam permainan, macam dah kenal lama. Sama2 terpekik, sama2 menyokong, sama2 ketawa & sama2 main tipu (sukaneka lelaki la ni..perempuan main jujur).
Walaupun dalam permainan tu ada yang main tipu, sengaja tolak kawan dalam lumpur..tapi yg sangat2 best tu, tak ada pergaduhan. Semua bermain dengan gembira & penuh semangat kekeluargaan.
Dari situlah, rasa segan mula hilang..kemesraan semakin ketara & dengan kemesraan yg semakin berputik tu, ada juga yang intai2 nk buat 'seseorang" tu jadi menantu sedare..hehe..(yg ni nnt citer lain).
Opsssss.....dh pukul 10.30 pagi. Tercuri waktu kerja pulak. Next time sambung lagi....tapi, sebelum undur diri, nak bagitau..memang HIMPUNAN KELUARGA BANI HAJI DAUD terbaik. Sangat memberi kesan dalam jiwa raga.
Wassalam