BUKU PROGRAM HKBHD 2016

Berikut dipaparkan salinan kandungan Buku Program dan Cenderahati HKBHD 2016 untuk simpanan dan tatapan generasi akan datang.

Sila klik >>> BUKU PROGRAM <<< di Dropbox.

Berikut adalah cabutan ucapan-ucapan aluan daripada Penaung, Penasihat 1 dan Pengerusi untuk simpanan ke zaman akan datang.





KATA-KATA ALUAN PENAUNG
YB DATO' SRI AHMAD SHABERY BIN CHEEK  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kita dapat bersama dalam Himpunan Keluarga Bani Haji Daud (HKBHD 2016).

Syabas saya ucapkan kepada barisan Jawatankuasa Pelaksana yang diketuai oleh Pokde Sor, kerana akhirnya berjaya merealisasikan perhimpunan besar keluarga kita, yang sekian lama diangan-angankan. Saya difahamkan seramai 260 orang dari 63 keluarga telah berjaya dikumpulkan kali ini.

Saya percaya  himpunan ini, pasti akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan KBHD, kumpulan keluarga yang kian membesar dan bertebaran ke segenap pelusuk negara dan dunia.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja yang telah memberi tajaan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan.

Akhir kata sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat bertungkus lumus bekerja untuk HKBHD 2016. Semoga perhimpunan seperti ini akan terus diadakan di masa akan datang dan segala usaha kita ini mendapat restu dan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Sekian, terima kasih.


AHMAD SHABERY CHEEK
PENAUNG HKBHD







KATA-KATA ALUAN PENASIHAT I
TUAN HAJI BESAR SA’AID BIN TALIB

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Cita-cita untuk mengadakan himpunan keluarga keturunan Haji Daud ini telah ditanam semenjak berpuluh tahun lagi oleh kami berdua (Pokde dari Bani Siti Hajar dan Cikde dari Bani Pendekar Mamat).  Baru kini terhasil.

Semuanya ini adalah berkat dari kesabaran dan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya atas galakan dan sokongan tenaga dan kewangan dari ahli-ahli waris. Antara yang paling menonjol ialah dari Pok Adek (YB Dato’ Sri Shabery) sendiri, satu-satunya ahli waris yang berjaya menjadi seorang Menteri.

Dari sokongan kewangan penaja-penaja kita dapat memberi subsidi Yuran Penyertaan sebanyak RM85.00 setiap peserta berumur 13 tahun ke atas dan RM65.00 setiap peserta berumur dari 5 hingga 12 tahun. Kita juga mendapat derma tajaan/iklan dalam bentuk wangtunai dan barangan hadiah untuk aktiviti-aktiviti serta peralatan sokongan dan perkhidmatan yang perlu dibayar.

Pokde dan Cikde mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam perhimpunan HKBHD. Kami memohon berbanyak ampun dan maaf jika sekiranya ada masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan timbul dalam menjayakan perhimpunan ini.

Pokde difahamkan jumlah penyertaan adalah melebihi 260 orang, termasuk kanak-kanak. Semoga usaha-usaha yang kita lakukan ini akan diberi ganjaran jua di akhirat nanti.

Wassalam.

Pokde & Cikde.






KATA-KATA ALUAN PENGERUSI
IR. HJ. MOHD HANAFIAH BIN BESAR SA’AID

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdullilah syukur kepada Allah kita dapat melaksanakan himpunan ini.  Saya amat terharu dapat mengumpulkan 260 peserta dengan proses pendaftaran yang cekap dan pembayaran penuh tepat pada masanya!!  Tahniah semua!! 

Ribuan terima kasih kepada ahli-ahli jawatankuasa pelaksana HKBHD 2016 atas kerja kuat anda; kepada setiausaha Dayah dan Salma yang membuat rangka kerja HKBHD 2016; kepada Lina yang memulakan aktiviti dengan pencarian resort.  Terima kasih yang tak terhingga kepada Yani dan AJK acara yang tentunya JK yang paling kuat bekerja untuk memberi kegembiraan dan kepuasan kita semua.

Terima kasih kepada Lt. Col. Jafni yang membawa gerak kerja profesional;  juga kepada Amir Pok Pin yang walaupun tak dapat menyertai kita masih memberi khidmat terbaik untuk design dan tempahan T-shirt dan buku ini.

Terima kasih kepada isteri tersayang Ida atas sokongan dan teguran. Terima kasih kok Fiza yang membuat montage Warisan Kita, juga kepada Fizal ustaz kita, puan emcee Ika, Pok Nong logistik, semua AJK lain dan semua yang terlibat yang nama tak muat nak sebut di sini.

Akhir kata terima kasih tak terhingga kepada Ayoh dan Mok yang memberi kepercayaan dan memimpin Ang untuk mengetuai pelaksanaan HKBHD 2016 yang telah lama dicita-citakan oleh Mok dan Ayoh berdua.

Saya mewakili semua AJK memohon berbanyak ampun dan maaf untuk apa-apa kekurangan.  Saya berharap perhimpunan ini di masa hadapan dapat diadakan setiap kali tahun sukan Olimpik berlangsung.

Wassalam.

Ir. Hanafiah Besar Saaid






















No comments:

Post a Comment