Thursday, October 13, 2016

Terima Kasih Untuk Semua

Assalamualaikum dan Salam Bahagia buat seluruh warga kerabat Bani Haji Daud (BHD), walau di manapun berada.  Saya percaya sebahagian besar dari kita masih tidak dapat melupakan keseronokan saat kita berkumpul buat julung kalinya di Teratak Malaya, Janda Baik baru-baru ini.  Silaturahim antara kita telah mula bertaut. Semoga perhimpunan ulung tersebut tidak menjadi yang terakhir hingga menyebabkan tali silaturahim mereput dan terputus dimamah waktu. Kepada sebahagian kerabat yang tidak berkesempatan menyertai perhimpunan baru-baru ini, diharapkan berpeluang untuk turut serta dalam acara akan datang. Insyaa Allah.
Sudah semestinya, sebagai perhimpunan pertama, tidak lekang daripada terlepas pandang dan juga kecacatan. Pun begitu, tidak seharusnya segala kekurangan dan kelemahan tersebut dijadikan alasan untuk kita saling mempersalah atau memperlekehkan antara satu sama lain. Apa lagi jika segalanya hendak ditudingkan kepada barisan Pengerusi serta AJK Penganjur. Kelemahan dan kekurangan kita ambil sebagai iktibar dan panduan untuk kelancaran dan kejayaan pada program akan datang. Saya penuh yakin dan percaya bahawa tiada seorangpun di kalangan kerabat BHD yang tergamak berpandangan buruk sedemikian, malah setelah kita saling mengenali menjadikan kita bertambah mesra dan tertanam perasaan kekitaan dalam sanubari masing-masing.
Pada kesempatan ini, saya tidak berhasrat untuk mengulang apa yang telah dicatatkan oleh kerabat kita di ruangan yang diwujudkan khas untuk kita memberikan pandangan, lontaran idea dan sebagainya demi kesatuan kerabat BHD.  Dengan setulus hati saya ingin melakar dan merakamkan rasa penuh bangga dan penghargaan setinggi-tingginya kepada beberapa insan yang memainkan peranan penting dan penuh tanggungjawab dalam mencambahkan idea serta memerah keringat dan tenaga demi merealisasikan hasrat murni untuk mengumpul seberapa ramai warga kerabat BHD yang bertebaran di seluruh negara.
Tanpa cetusan idea daripada Tuan Haji Besar Sa’aid atau Pok De yang mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari wanita kesayangannya, Cik De, sudah tentulah kita tidak berpeluang mengenali antara satu sama lain. Tiada ungkapan dan hadiah yang senilai untuk dianugerahkan kepada pasangan suami isteri ini atas segala jasa bakti mereka terhadap BHD ini.  Hanya Allah Subhanahu Wataala jua yang mampu memberi balasan yang sebaiknya. Marilah kita semua sama-sama memanjatkan doa kepada Allah Robbul Jalil agar pasangan ini diberi kesihatan dan kerahmatan yang berterusan. Amin.
Tuan Haji Ir Mohamad Hanafiah, saya tabik saudara kerana telah membuktikan kemampuan memikul tanggungjawab yang amat berat untuk menjayakan program ulung ini. Pelbagai cabaran dan karenah terpaksa dihadapi, menambahkan beban tugas hakiki yang sepatutnya perlu didahului.  Namun, berkat kerajinan dan ketabahan serta tentunya dengan izin-Nya jua, maka Saudara telah mencipta sejarah tersendiri sebagai Pengerusi Ulung HKBHD. Ilmu dan pengalaman yang diraih diharapkan dapat dijadikan teladan dan panduan kepada peneraju acara sebegini pada kesempatan mendatang.
Buat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dan Toh Puan, tokoh kebanggaan dan sebagai ikon keluarga besar BHD, saya dan tentunya seluruh kerabat BHD ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas sumbangan idea dan material dari awal hingga akhir dalam pelaksanaan acara yang gemilang ini. Semoga Dato’ Sri dan Toh Puan serta seisi keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah Taala dengan keberkatan rahmah-Nya.

Terakhir, tetapi tidak bermakna ianya kurang penting, ucapan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada semua AJK dan barisan penaja, terutamanya Rayhar Travels yang telah bertungkus lumus tanpa menghiraukan penat lelah dan mengenal erti putus asa, berusaha dengan sedaya upaya untuk menjayakan misi dan visi menyatukan kerabat BHD buat julung kalinya di Teratak Malaya.  Budi dan jasa Saudara dan Saudari sekalian mudahan tercatat sebagai amalan mulia di sisi Tuhan. Semoga persaudaraan dan kesepakatan di kalangan kerabat BHD akan berterusan hingga ke akhir hayat. Kita ambil dan hayati kata-kata nenek moyang kita terdahulu, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

No comments:

Post a Comment